LIU Ying (kiri) dan Peng Soon mahu memulihkan keyakinan mereka pada Piala Axiata yang bermula di Surabaya minggu ini.
BEREGU campuran terbaik negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying bertekad menjadikan Kejohanan Badminton Piala Axiata di Surabaya, Indonesia pada 21 hingga 24 Mac ini sebagai medan memulih keyakinan serta meningkatkan kembali ranking dunia mereka yang merudum sejak akhir-akhir ini.
Gandingan Peng Soon-Liu Ying yang pernah menduduki ranking No. 3 dunia sebelum beraksi pada Terbuka Jerman dan Seluruh England baru-baru ini, kini menghuni kedudukan No. 5 dalam senarai terbaharu yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (WBF).
Walaupun fokus utama mereka kini lebih terarah kepada Kejohanan Dunia di Guangzhou, China pada Ogos depan, namun Peng Soon-Liu Ying tidak seharusnya melepaskan peluang bergelar juara pada Piala Axiata kerana kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan AS$1 juta (RM3 juta) - hadiah kejuaraan paling tinggi dalam sukan badminton setakat ini.
"Saya sangat teruja untuk beraksi pada Piala Axiata kerana ia merupakan penyertaan sulung saya. Kejohanan itu sungguh mencabar tambahan pula saya belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut..
"Saya telah menerima suntikan lima minggu lalu sebelum beraksi pada Terbuka Jerman. Terdapat sedikit koyakan pada tisu lutut, namun sekarang saya rasa ia bertambah baik," kata Liu Ying.
Menurut Peng Soon pula, mereka sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi kejohanan itu, namun menjangkakan bakal berdepan tekanan kerana mereka juga akan berdepan penyokong fanatik Indonesia.
"Kami sudah bersedia menghadapi penyokong-penyokong tuan rumah dan Piala Axiata pula menggunakan format berpasukan dan setiap mata sangat berharga buat pasukan negara.
"Kami akan berhadapan dengan beregu handalan dunia dan kami perlu menang setiap perlawanan. Ranking dunia kami juga telah jatuh ke tangga No. 5 dan kami menyasarkan untuk berada dalam kelompok empat terbaik sebelum Kejohanan Dunia bermula nanti," kata Peng Soon.
Dalam pada itu, turut menyertai mereka pada Piala Axiata nanti adalah pemain wanita, Lim Yin Loo yang menjadi pemain simpanan untuk kategori beregu campuran.
Pusingan pertama kejohanan itu yang bermula Khamis ini turut menyaksikan penyertaan pasukan dari Malaysia, Indonesia, Vietnam, Thailand, Singapura, Filipina, Pilihan Bintang Asia dan Pilihan Bintang Eropah.
Untuk pusingan kedua pula, perlawanan akan dilangsungkan serentak di Kuala Lumpur dan Surabaya pada 29 hingga 31 Mac.
Empat pasukan yang mempunyai pungutan mata tertinggi selepas pusingan awal akan layak ke separuh akhir dan undian untuk menentukan lawan masing-masing dalam pusingan itu akan diadakan semula.
Perlawanan separuh akhir dan akhir akan diadakan di Kuala Lumpur bermula 13 April depan dan juara pada perlawanan akhir akan membawa pulang hadiah wang tunai AS$400,000 (RM1.2 juta).
Bagi Liu Ying, 24, skrip Piala Axiata kali ini pasti penuh dramatik dan mencabar terutama dengan kehadiran juara beregu campuran Seluruh England dari Indonesia, Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir serta pasangan sedang meningkat naik dari Thailand, Sudket Prapakomol- Saralee Thoungthongkam.
Selain itu, gandingan Peng Soon-Liu Ying turut berwaspada dengan kehadiran pasangan England, Nathan Robertson-Jenny Wallwork yang turun bersama pasukan Pilihan Bintang Eropah yang akan bertemu Malaysia pada 24 Mac, sehari selepas bertemu Indonesia.
Sementara itu, jurulatih beregu campuran negara, Jeremy Gan berkata, dia kini berusaha memulihkan kembali mental pasangan Peng Soon-Liu Ying yang sedikit terganggu selepas kekalahan dalam dua kejohanan utama baru-baru ini dan dia mencabar mereka untuk membuktikan sesuatu dalam Piala Axiata kali ini.
"Saya ingin melihat prestasi mereka kembali memuncak. Kejohanan ini merupakan acara berpasukan dan kemenangan Peng Soon-Liu Ying akan memberi mata berharga buat pasukan negara.
"Saya optimis mereka memiliki segala ramuan untuk mengalahkan sesiapa sahaja jika berada dalam prestasi terbaik dan untuk mendapatkan prestasi tersebut segalanya bergantung kepada mereka. Mereka perlu 'berperang' dengan minda mereka sendiri," jelas bekas jurulatih kebangsaan itu lagi.
Harga tiket bagi menyaksikan Piala Axiata ialah antara RM10 hingga RM35, dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 03-8775 4666.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0319&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz2NxOwTFhk
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment