JellyPages.com

Sunday, 17 March 2013

.:Nazirul sedia harungi cabaran baharu:.


PEMAIN muda negara, Nazirul Naim Che Hashim mendedahkan bahawa masalah komunikasi tidak akan menjejaskan fokusnya dalam usaha memberikan aksi cemerlang sebaik menyarung jersi kelab divisyen tiga Liga Bola Sepak Jepun (Liga J), Ryukyu FC kelak.
Menurut tonggak pertahanan kiri skuad Harimau Muda itu, dia yakin masalah tersebut dapat diatasi dengan baik dan tidak mahu menjadikan bahasa Jepun sebagai isu ketika beraksi bersama kelab barunya itu.
Sebaliknya, pemain berusia 20 tahun kelahiran Perak itu menegaskan, dia kini semakin bersemangat untuk memberikan aksi terbaik kepada bakal majikan baharunya di bumi Jepun kelak.
“Masalah komunikasi bukan satu isu. Ramai yang mengetahui bahawa Jepun memang mengamalkan bahasa ibunda mereka berbanding bahasa Inggeris tetapi saya yakin ketika beraksi di atas padang, mereka akan memahami isyarat-isyarat bahasa bola sepak.
“Lambat-laun saya yakin dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran di Jepun termasuk mengambil kursus bahasa mereka kelak bagi memantapkan lagi hubungan komunikasi.
“Apa yang lebih penting ialah ini merupakan masa terbaik buat saya untuk menimba pengalaman kerana liga mereka dianggap antara yang terbaik di Asia.
“Sudah tentu saya semakin bersemangat untuk membantu Ryukyu FC. Kalau boleh, membantu mereka untuk menaiki ke divisyen kedua,” katanya.
Selain Naim, pemain sayap Harimau Muda, Wan Zack Haikal Wan Noor turut terpilih menyertai kelab Jepun itu.
Jelasnya, dia percaya keserasian bersama Wan Zack mampu memberikan impak kepada majikan baharu mereka selain bertekad untuk menggunakan sepenuhnya peluang menimba pengalaman di negara matahari terbit itu.
“Saya memiliki keserasian dengan Wan Zack ketika kami bersama-sama berlatih di Slovakia sebelum ini. Saya fikir ia tidak akan menimbulkan masalah.
“Saya tidak mahu memikirkan perkara yang negatif kerana matlamat saya adalah untuk menimba pengalaman beraksi dalam liga yang kompetitif.
“Jika diberikan peluang, saya mahu berada di sana lebih lama biarpun ditawarkan kontrak selama dua tahun tetapi apa juga keputusan mengenai masa depan saya kelak, saya akan sentiasa berhubung dengan jurulatih Harimau Muda (Ong Kim Swee) kerana beliau merupakan individu yang bertanggungjawab membawa saya ke peringkat ini,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0317&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz2NocEDCD1 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment