Pakistan ikat anak didik Revington
2-2
Ipoh: Hanya satu mata diperlukan anak didik Paul Revington untuk menempah tiket aksi final kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2013, selepas seri 2-2 dengan Pakistan dalam perlawanan sengit malam tadi, meskipun dua kali mendahului lawan.
Malaysia kini perlu sekurang-kurangnya seri apabila turun bertemu India dalam perlawanan terakhir kumpulan, malam esok memandangkan dua pencabar ke final iaitu Australia dan New Zealand akan bertemu sesama sendiri.
Gagal kekal formasi
“Keseluruhannya saya berpuas hati dengan prestasi malam ini (malam tadi) tapi yang mengecewakan ialah gagal memanfaatkan 11 pukulan sudut penalti, yang masuk hanya dua saja... kita akan meneliti perkara ini.
“Kita juga gagal mengekalkan formasi ketika menyerang menyebabkan lawan pantas membuat serangan balas dan menyamakan kedudukan,” kata Revington.
Faizal Saari menceriakan pasukan negara apabila meledak gol pendahuluan melalui pukulan sudut penalti pertama pada minit ke-6. Begitupun Pakistan menyamakan kedudukan empat minit kemudian melalui kaptennya, Muhammad Imran.
Malaysia meneruskan asakan pada babak kedua dan mendapat pukulan sudut penalti pada minit ke-53 yang disempurnakan dengan kuisan kencang Muhammad Razie Abd Rahim untuk mendahului 2-1. Kegembiraan tuan rumah tidak lama apabila Ali Shan menyamakan kedudukan.
Sementara itu, Australia juga belum memastikan kemaraan ke
final apabila diikat 3-3 oleh Korea Selatan.
Juara bertahan New Zealand menyalakan harapan ke final selepas menewaskan India 2-0.
sumber rujukan : http://w1.bharian.com.my/bharian/articles/HokiPialaSultanAzlanShah2013_Impianfinalmakincerah/Article/
No comments:
Post a Comment