Bola Kampung ialah sebuah siri televisyen animasi buatan Malaysia yang dihasilkan oleh Animasia Studios, mengisahkan keghairahan sekumpulan kanak-kanak luar bandar dalam bermain bola sepak dan impian mereka untuk mewakili sekolah mereka dalam sukan berkenaan. Siri Bola Kampung asalnya dibikin dan disiarkan dalam bahasa Malaysia di RTM1, tetapi kini juga dialih suara ke bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain dengan membawa tajuk Football Kids untuk tayangan oleh Disney Channel di 16 buah negara sejak akhir tahun 2007, selaku terbitan "buatan MSCMalaysia" terulung yang mencapai pasaran antarabangsa. Sehingga hari ini, Bola Kampung sudah disiarkan empat musim di kaca televisyen Malaysia. Pada tahun 2011, siri Bola Kampung diperbaharui dengan siri Bola Kampung X yang ditayangkan perdana di Cartoon Network mulai 4 Jun.
Plot
Bola Kampung mengisahkan sekumpulan kanak-kanak yang tinggal di Kampung Gong Lechar, daerah Pohon Bambu, yang menggilai bola sepak, itupun hanya bermain kerana minat semata-mata. Ini berubah apabila pengetua sekolah mereka dan jurulatih bola sepak baru, Abdul Rahman, menubuhkan sebuah pasukan bola untuk bertanding di kejohanan antara sekolah. Iwan, iaitu watak utama siri Bola Kampung, menjadi pemimpin pasukan bola sepak sekolahnya ini, namun ditentang oleh bapanya yang, ironik sekali, pernah bermain dalam pasukan bola sepak kebangsaan, gara-gara tidak mahu anaknya mengalami nasib malang seperti dirinya. Namun, dengan sokongan kawan karibnya Azizul dan Sabok, Iwan berjaya meredah segala rintangan, sekaligus menjadi nadi pasukan. Bersama-sama, Iwan dan rakan-rakannya bertarung dengan cabaran yang mendatang untuk mencapai impian masing-masing.
- Iwan
- Watak utama Bola Kampung ini adalah seorang yang periang dan mempunyai impian untuk mewakili pasukan negara. Bermain di posisi tengah, dia sering membuat hantaran tepat dan berbahaya. Peminat cilik Zinedine Zidane ini dianggap sebagai "nadi utama" pasukannya.
- Fauzi
- Berkenalan Iwan ketika cuti sekolah. Selepas itu pemain yang mewakili daerah Pohon Meranti berjumpa lagi bersama Iwan di atas padang. Pemain ini juga dikenali sebagai arkitek. Dia memiliki skil yang tinggi dan kemampuan sepakan percuma yang baik. Dia bermain di bahagian tengah iaitu posisi yang sama bersama Iwan.
- Sabok
- Seorang kawan karib kepada Iwan. Kelebihannya sebagai pemain sayap kanan merupakan kebolehannya mengawal bola dengan kedua-dua belah kaki. Dia bijak mencipta peluang di hadapan gol dengan menggelecek pertahanan lawan. Dia dianggap sebagai "pakar" mengambil sepakan percuma.
- Azizul
- Kekuatannya sebagai pemain sayap kiri adalah larian laju dan hantaran tepat. Kakinya yang kuat dipercayai adalah sumbangan kerja-kerja membantu bapanya di sawah bendang.
- Kumar
- Dia selalu risau akan tahap kemahiran dan kebolehannya menjaring gol. Ini, di samping kegemukannya, menjadikannya kurang menyengat sebagai penyerang. Oleh itu dia terpaksa bekerja keras untuk meraih tempat dalam kesebelasan utama.
- Santokh
- Seorang yang kuat ego dan amat kompetitif. Dia percaya yang dirinya adalah yang terbaik dan tidaka akan bertolak ansur dengan sesiapa yang menentangnya. Mempunyai bakat yang hebat, dia amat digeruni oleh pemain pertahanan dengan larian pantas dan rembatan derasnya.
- Szeto
- Reputasi Szeto sebagai salah seorang penjaga gol terbaik di daerah Pohon Bambu adalah hasil daripada dedikasi menolong bapanya mengopek kelapa setiap hari.
- Ah Hock
- Walaupun rakan baik kepada Santokh, namun Ah Hock yang berhati baik ini selalu membenarkan keputusannya dipengaruhi oleh Santokh. Dia adalah pemain yang biasa sahaja kemabhirannya.
- Amad dan Amid
- Pasangan kembar dalam pasukan ini bermain di posisi pertahanan bersama-sama. Mereka sangat agresif dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Kebolehan di udara dan terjahan keras menjadikan mereka antara pemain pertahanan yang terbaik di daerah.
- Nasha
- Dia adalah anak kepada Tok Ketua (ketua kampung) dan juga seorang rakan baik Iwan. Dia juga meminati bola sepak dan percaya bahawa usaha tanpa mengerti jemu akan membawa hasil yang lumayan.
- Sumber Rujukan :Wikipedia, Bola Kampung
No comments:
Post a Comment