ADIQ sekadar menduduki tempat kesembilan dalam acara lepas beramai-ramai pada ACC 2013 di New Dehli, India semalam.
NEW DELHI - Status selaku pelumba ternama jelas memberi tekanan kepada Mohd. Adiq Hussainie Othman apabila dia sekadar menduduki tempat kesembilan pada perlumbaan lepas beramai-ramai bawah 23 tahun Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 sejauh 142 kilometer di Litar Formula Satu Buddha International Circuit semalam.
Keputusan tersebut amat mengecewakan Mohd. Adiq yang menaruh harapan tinggi untuk mempertahankan pingat perak dimenanginya dalam kategori sama pada ACC 2012 di Putrajaya tahun lalu.
Pelumba yang pernah berkayuh pada Sukan Olimpik 2012 di London itu, merakam masa 3 jam 5 minit 17 saat, keciciran 59s di belakang pemenang pingat emas dari Iran, Ali Khademi yang mencatat masa 3:04.18s, diekori dua pelumba Kazakhstan, Nurbolat Kulimbetov dan Vladislav Gurbunov yang merakam masa sama.
Seorang lagi pelumba negara, Mohd. Ekbar Zamanhuri sekadar menduduki tempat ke-33 dengan catatan masa 3:05:31s manakala dua lagi pelumba, Nik Mohd. Azwan Zulkiflie dan Fakrullah Alias tidak dibenarkan berkayuh.
Bagaimanapun, 15 pelumba dari Iran, Hong Kong, China, Indonesia, Korea Selatan, Uzbekistan, Macau, Mongolia, Bahrain, Afghanistan, Pakistan, Filipina, Sri Lanka, Vietnam dan Qatar turut berdepan dilema serupa atas alasan usia sudah melepasi 22 tahun.
Mohd. Adiq yang berjaya melakukan pemecahan pada awal perlumbaan sebelum 'ditangkap' oleh kelompok pendesak dari Kazakhstan dan Iran, mengakui bahawa dia agak terkilan kerana gagal mempertahankan pingat perak dimenanginya tahun lalu.
"Semua pelumba memerhatikan kayuhan saya. Mereka tahu saya adalah seorang pelumba kelab pro continental. Mereka akan sentiasa mengejar setiap kali saya cuba untuk melakukan pemecahan.
"Saya berjaya keluar pada peringkat awal tetapi mereka segera mengejar bagi memastikan saya tidak berada jauh di hadapan.
"Saya rasa seakan-akan boleh 'menangkap' kelompok depan. Saya dan Iki (Mohd. Ekbar) bekerja keras untuk meningkatkan daya kayuhan.
"Namun, sokongan daripada negara lain kurang memberangsangkan. Mungkin kerana masing-masing enggan membenarkan saya keluar daripada kelompok pendesak.
"Rasa terkilan kerana saya akan masuk kategori senior pada tahun depan. Bagaimanapun saya ucapkan terima kasih kepada Iki yang banyak membantu saya.
"Kami bergabung tenaga untuk mengejar tujuh pelumba yang keluar melakukan pemecahan tetapi kita kekurangan rakan sepasukan untuk merencanakan strategi," katanya.
Pengurus pasukan, Omar Saad kini mengharapkan sentuhan ajaib pelumba elit lelaki yang bakal menampilkan dua pemecut berbakat daripada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif dan Mohd. Zamri Salleh.
"Nampaknya kita terpaksa mengharapkan keajaiban daripada pelumba elit lelaki. Saya harap mereka boleh melakukan sesuatu untuk menang sekurang-kurangnya pingat gangsa," katanya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0317&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz2NobrpGoL
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment