JellyPages.com

Thursday, 14 March 2013

Irfan tidak mahu ambil risiko



FORKEY DOE (kiri) meledakkan dua gol ketika Selangor seri 3-3 dengan Tampines Rovers pada aksi kedua Piala AFC di Stadium Shah Alam kelmarin.

JURULATIH Selangor, Irfan Bakti Abu Salim mengakui yang beliau tidak mahu mengambil risiko dengan menurunkan barisan terkuat ketika seri 3-3 dengan Tampines Rovers pada aksi kedua Piala AFC di Stadium Shah Alam kelmarin.
Irfan berkata, beliau mahu memastikan sistem penggiliran pemain Selangor berjalan dengan lancar, sekali gus memberi peluang kepada beberapa pemain simpanan untuk beraksi.
Bekas pengendali Terengganu itu memberitahu, beliau mahu memastikan perjalanan skuad kendaliannya dalam keadaan terbaik kerana Selangor masih bersaing pada kempen Liga Super, Piala FA dan Piala AFC.
Selain itu, beberapa pemain yang ditimpa kecederaan antaranya penjaga gol, Norazlan Razali dan Adib Aizuddin Ab Latif antara punca utama beliau menurunkan barisan pemain pilihan.
Pada perlawanan itu, Francis Forkey Doe meledakkan dua gol dan satu jaringan peribadi oleh Mohd. Amri Yahyah manakala Alexsander Duric, Imran Shabib dan Yamashito Kunihiro masing-masing meledakkan satu gol buat Tampines.
"Saya tidak dapat menurunkan beberapa pemain pilihan kerana tidak mahu mengambil risiko terutamanya yang masih mengalami kecederaan.
"Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati dengan keputusan seri itu. Setiap kali kami berada di depan, gawang kami dibocori kerana pemain-pemain kurang fokus dan leka.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak mahu menurunkan skuad terkuat. Saya membuat keputusan untuk menukarkan barisan pemain pada perlawanan ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan itu.
Meskipun Selangor kini menghuni tangga tercorot Kumpulan H apabila sekadar memungut satu mata sepanjang dua perlawanan, Irfan tetap optimis.
"Saya tetap optimis bahawa kami masih mampu meneruskan saingan pada aksi Piala AFC.
"Kami akan mengambil pendekatan dengan memberikan fokus kepada satu demi satu perlawanan. Sebelum berlepas ke Saigon pada 1 April nanti, kami akan mengadakan dua perlawanan persahabatan, disusuli aksi Liga Super menentang Felda United.
"Saya tetap percaya bahawa kami memiliki kemampuan untuk melakar kemenangan pertama di pentas Asia," katanya.
Sementara itu, jurulatih Tampines, Nenad Bacina mengakui yang beliau gembira dengan keputusan itu, terutamanya selepas skuad kendaliannya berjaya mencuri satu mata di Stadium Shah Alam.
"Meskipun kami memiliki banyak peluang (untuk memenangi perlawanan ini), saya tetap gembira kerana misi utama kami adalah tidak boleh kalah dan keputusan seri ini sudah memadai," ujar Bacina.
Untuk aksi ketiga Piala AFC, Selangor bakal terbang ke Vietnam menentang Xuan Thanh Saigon manakala Tampines menanti kunjungan kelab India, East Bengal pada 3 April depan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0315&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz2NaODTRRJ 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment