BINTANG import Australia, Dimi Pertratos memberi nafas baharu kepada Kelantan pada saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Pada aksi Kumpulan G di Pusat Latihan Belia, Yangon kelmarin, Pertratos meledakkan dua gol bagi membantu Kelantan menewaskan wakil Myanmar, Ayeyawady United 3-1.
Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak ternyata gembira dengan keputusan itu dan menganggap kemenangan tersebut merupakan satu titik kebangkitan pasukan berkenaan musim ini, selain melunaskan 'hutang' ekoran kekalahan kepada lawan yang sama di gelanggang sama tahun lalu.
Hodak berkata, kemenangan itu mampu mengubat kekecewaan para peminat apabila sekadar berpuas hati diikat 1-1 oleh Maziya Sports and Recreation Club (SRC) dari Maldives pada aksi di laman sendiri minggu lalu, selain memuji kekuatan mental pemain-pemain yang mampu mencatat kemenangan di gelanggang lawan.
"Permulaan yang baik bagi Kelantan. Kami menguasai perlawanan sama seperti ketika bertemu Maziya SRC minggu lalu dan jaringan awal ketua pasukan, Badhri (Radzi) menjadi titik tolak kemenangan ini sebelum Pertratos membuktikan ketajamannya.
"Saya gembira dengan kemenangan ini. Sebelum kempen Piala AFC bermula, saya beritahu anda bahawa Kelantan dan SHB Da Nang (Vietnam) merupakan pasukan yang kuat dan menjadi pilihan mara ke suku akhir. Kami berjaya membuktikannya," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Hodak berkata, skuad The Red Warriors mampu memenangi perlawanan itu dengan jumlah gol yang lebih besar, namun penyudah penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaemi agak tumpul.
"Nwakaeme beraksi dengan cemerlang, namun nasib sekali lagi tidak memihak kepadanya pada perlawanan ini. Saya mengeluarkannya pada lewat permainan dan digantikan dengan K. Nanthakumar bagi menguatkan jentera tengah setelah kami selesa mendahului 3-1.
"Faiz (Subri) juga mempamerkan permainan yang baik. Gerakannya beberapa kali mengancam kubu lawan dan membantu memantapkan jentera serangan. Piya turut cemerlang, hantarannya cukup baik dan tepat. Saya fikir kami akan bertambah baik jika permainan yang sama dipamerkan pada aksi Liga Super," ujarnya.
Pada perlawanan tersebut, Badhri meletakkan Kelantan di depan seawal minit kedua menerusi sepakan percuma menarik sebelum Pertratos melebarkan kedudukan pada minit 57, juga menerusi sepakan percuma.
Ayeyawady berjaya merapatkan jurang menerusi pemain import Slovakia, Dominik Bersnjak pada minit ke-79, namun Petratos menamatkan perjuangan anak-anak buah Marjan Sekulovski itu menerusi gol kedua peribadinya seminit kemudian.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0315&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz2NaMwNllj
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment