JellyPages.com

Friday, 12 April 2013

Malaysia pilih jumpa Asia (Sukan Badminton)

GANDINGAN Chan Peng Soon (kiri) dan Goh Liu Ying akan terus diberi kepercayaan menggalas cabaran negara dalam acara beregu campuran.

SKUAD negara mempunyai peluang yang lebih cerah untuk melangkah ke final sekiranya diundi menentang Pilihan Bintang Asia (Asia) pada majlis undian aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Piala Axiata 2013 hari ini.
Jurulatih beregu kebangsaan, Paulus Firman berkata, beliau percaya prestasi skuad negara ketika menentang Asia dan Thailand pada peringkat kumpulan boleh dijadikan ‘petunjuk’ untuk aksi akan datang.
Terdahulu, Malaysia sekadar terikat 2-2 dengan Thailand pada aksi kedua kejohanan di Surabaya pada 22 Mac lepas, sebelum bangkit menewaskan Asia dengan keputusan 3-1 sembilan hari kemudian di Kuala Lumpur.
Berdasarkan pencapaian di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras itu, Paulus berkata, beliau berharap undian yang akan dijalankan pada hari ini bakal mempertemukan skuad negara dengan Asia.
“Saya harap Malaysia akan diundi menentang Asia kerana berdasarkan keputusan yang lepas, kami meraih mata yang lebih baik jika dibandingkan ketika menentang Thailand.
“Ini kerana peluang dilihat lebih baik tetapi jika keputusan undian berbeza mereka juga harus beraksi dengan baik supaya dapat mara ke final,” kata Paulus.
Malaysia berada di tangga kedua peringkat kumpulan Piala Axiata selepas meraih 21 mata di belakang Indonesia selaku pemimpin kumpulan dengan 22 mata.
Kedua-dua pasukan ini akan diundi sama ada menentang Thailand (21) atau Asia (16) yang menghuni tempat ketiga dan keempat.
Malaysia menyenaraikan 12 pemain untuk kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$1 juta (RM3.04 juta) itu, antaranya Datuk Lee Chong Wei, Liew Daren, Chong Wei Feng, Sonia Cheah Su Ya, Tee Jing Yi, Koo Kien Keat, Tan Boon Heong, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, Lim Yin Loo, Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong.
Begitupun, Chong Wei tidak akan beraksi kerana dia mahu meluangkan masa bersama isterinya, Datin Wong Mew Choo yang dijangka melahirkan anak pertama mereka pada hari ini.
Ketiadaan Chong Wei sekali gus menceriakan pasukan Indonesia, Thailand dan Asia kerana perseorangan lelaki mereka tidak perlu berhadapan dengan jaguh No. 1 dunia itu.
Sementara itu, pengurus pasukan Asia, Greg Kim Hong Gi percaya Indonesia dan Malaysia akan lebih rasa tertekan menjelang aksi separuh akhir esok.
“Saya tidak mahu membebankan pemain-pemain saya dengan tekanan kerana saya yakin yang sedang tertekan bukan kami tetapi pasukan-pasukan lain.
“Bagaimanapun, kami akan lihat dahulu undian itu nanti sama ada bertemu Indonesia atau Malaysia dan kami juga tidak boleh lari daripada kedua-dua pasukan ini,” kata Greg.
Dalam pada itu, Pengarah Hal Ehwal Luar Negeri Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Bambang Roedyanto berkata, Indonesia mempunyai peluang mempunyai peluang lebih baik daripada Malaysia.
“Jika kami bertemu Malaysia di final, jadi kami akan cuba untuk memenangi semua perlawanan. Kemenangan beregu Indonesia (Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan) menewaskan Kien Keat-Boon Heong pada Terbuka Australia telah meningkatkan keyakinan kami.
“Kami belum menentukan barisan pemain tetapi saya pasti pemain yang terbaik akan berada di gelanggang,” kata Roedyanto.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz2QGZhJzbb 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment